Thursday, January 23, 2014

Tip Tatahias

7 KESALAHAN DALAM KECANTIKAN
KESALAHAN 1: SALAH PILIH WARNA BEDAK ASAS
Tujuan bedak asas (foundation) adalah untuk mencipta kulit wajah yang halus dan menutupi ketidaksempurnaan. Atas sebab itulah anda perlu memilih bedak asas yang serasi dengan ton kulit anda. Ketika membeli bedak asas, cuba dahulu sampel yang ada dengan menyapunya pada bahagian sisi tapak tangan anda. Halakan tangan anda pada cahaya yang berlainan untuk memastikan warna yang dipilih tampak natural.

KESALAHAN 2: MENGOLES SOLEKAN PADA KULIT KERING
Mengoles bedak asas pada kulit kering pasti akan menghasilkan kesan yang menakutkan. Besar kemungkinan bedak asas yang anda pakai akan tampak menempel dan struktur kulit anda yang kering akan kelihatan lebih jelas. Atasi kekeringan dengan rawatan kulit secara teratur. Jangan lupa untuk mengenakan pelembap sebelum memakai bedak asas.

KESALAHAN 3: MEMBUAT BIBIR TAMPAK LEBIH TEBAL
Anda mungkin pernah mendengar dan mencuba teknik ini. Membuat garis tambahan di luar garis bibir akan membuatkan bibir tampak lebih tebal. Namun jika anda salah melakukannya, bibir akan tampak lebih janggal dan tidak natural. Jika ingin mencuba teknik ini, gunakan lip liner yang warnanya sama dengan warna lipstik pada garis luar bibir. Warnai bibir dengan lip liner yang sama. Dengan cara ini, jika lipstik anda pudar, maka garisan bibir itu tidak akan jelas kelihatan.

KESALAHAN 4: CABUT ALIS SECARA BERLEBIHAN @ MENGABAIKANNYA
Alis yang terbentuk akan menyerlahkan lagi kecantikan mata serta penampilan anda secara keseluruhan. Jika tidak tahu cara untuk membentuk alis, lebih baik minta khidmat professional untuk membentuknya. Saat merapi alis, jangan cabut terlalu banyak. Jika anda mencabut alis terlalu nipis, kemungkinan ia tidak akan tumbuh secara sekata seperti asal. Jadi, rapikan mengikut bentuk alis yang telah dibentuk sempurna mengikut lengkungan asalnya.

KESALAHAN 5: MENGENAKAN SEMUA WARNA PADA SET EYESHADOW
Menggunakan semua warna yang ada pada kompak eyeshadow anda bukanlah satu perkara yang bijak. Bukan semua warna yang ada itu sesuai dengan ton kulit anda dan boleh disesuaikan dengan acara yang anda hadiri. Gunakan warna-warna natural untuk solekan harian anda. Pilih warna-warna yang garang untuk majlis-malis tertentu sahaja. Jika ingin menggunakan tiga ton warna senada sekaligus, aplikasikan secara bijak. Gunakan warna sedang pada kelopak mata, warna yang lebih muda pada tulang alis dan warna yang lebih gelap sebagai liner.


KESALAHAN 6: CUBA MEMBENTUK WAJAH
Tidak semua dari kita dikurniakan kesempurnaan dari segi kecantikan dan bentuk wajah. Solekan tidak mampu untuk menciptakan hidung yang mancung, tulang pipi yang terbentuk indah, bibir yang mungil dan bentuk wajah yang langsing. Hanya bantuan teknik foto yang boleh mencipta ilusi ini. Walau sehebat manapun anda menggunakan kuasa solekan, ia pasti akan tampak tidak natural seandainya solekan itu terlalu tebal lebih-lebih lagi di siang hari. Oleh itu, lebih baik anda menumpukan teknik solekan pada bahgian wajah yang boleh menyerlahkan kecantikan anda.

KESALAHAN 7: MENGGUNAKAN PENSEL PADA ALIS
Merias alis dengan pensel akan membuatkan alis tampak seperti dilukis dan pelik. Tetapi masih ramai wanita yang menggunakan teknik ini untuk membentuk alis terutamanya alis yang telah dicabut sehingga nipis. Cara terbaik adalah dengan memilih eyeshadow yang warnanya sama dengan warna rambut anda. Kemudian sapukan pada alis dengan menggunakan berus alis bersudut dengan gerakan secara goresan kecil.
Kredit: Majalah Keluarga Harmoni 1-15 Julai 2012


















Tip solekan untuk tampil muda
Bahagian mata
Pilih pembayang dengan waran yang ringan seperti warna putih atau kecoklatan. Gunakan celak agar mata tampak terlihat lebih jelas.
Bibir pilihan – warna semula jadi untuk bibir penting agar anda dilihat segar.
Pakaian – kenakan baju warna cerah. Warna gelap seperti coklat akan semakin membuat anda terlihat tua. Meski demikian, sepatutnya anda tetap menjauhkan jenis pakaian yang terlalu terbuka.
Gaya rambut
Dapatkan nasihat dari pakar untuk memastikan kesesuaian gaya arambut dengan usia anda. Jika anda salah memilih potongan rambut juga memberikan kesan pada wajah dan juga penampilan. Bagi anda sudah terlalu lama memiliki rambut panjang. Tidak ada salahnya untuk sedikit mengubah gaya dengan memotongnya asalkan sesuai.
Bentuk tubuh
Usia bukan alasan untuk tidak menagmbil berat terhadap bentuk tubuh. Untuk itu senaman perlu jadi amalan, cara itu tubuh akan menjadi sihat dan lebih segar.
CARA BETUL MEMAKAI EYE LINER
§     Tarik garis pada garis kelopak mata dari bahagian dalam ke hujung bahagian luar mata. Untuk bahagian atas mata, sebaiknya gunakan eyeliner cair yang kalis air agar lebih mudah kering dan tidak cepat luntur
§     Bagi menyerlahkan bahagian mata, aplikasi eyeliner berulang untuk yang kedua kalinya, mulai daripada bahagian tengah mata hingga ke bahagian hujung luar mata.
§     Untuk membuat teknik cat eyes, tarik hujung eyeliner meruncing ke atas bahagian atas mata
§     Bahagian bawah mata pula, gunakan eyeliner pensel dengan cara menarik hujung kelopak mata bahagian bawah.

Kredit: Mingguan Wanita 18-24 January 2013









TAMPIL CANTIK MENAWAN
Wanita memang sinonim dengan kecantikan. Malah anda perlu sentiasa tampil menarik walau di mana sahaja berada. Kesibukan harian bukanlah menjadi alasan untuk anda mengabaikannya. Untuk kelihatan cantik dan segar, panduan berikut mungkin boleh membantu anda. Semoga tip ini mampu menjadikan anda seorang wanita yang bergaya sepanjang masa.
1.                  Jangan bersolek keterlaluan
Anda disarankan untuk mengenakan sedikit solekan ringkas jika ingin melangkah ke luar rumah samada untuk bekerja mahupun bersiar-siar. Ini bagi mengelakkan wajah anda kelihatan pucat serta tidak bermaya. Anda boleh mengoles bedak asas yang bersesuaian dengan ton warna kulit muka. Kesalahan dalam memilih bedak asas akan menjadikan wajah kelihatan terlalu gelap atau terlalu cerah dari warna sebenar kulit anda. Elakkan juga memakai penggaris mata yang terlalu tebal kerana anda akan kelihatan lebih tua daripada umur sebenar. Selain itu, pemakaian mascara juga tidak perlu terlalu tebal kerana ia akan menampakkan seolah-olah anda memakai bulu mata palsu.
2.               Memilih warna rambut yang bersesuaian
Mewarnakan rambut dapat memberikan variasi terhadap penampilan di samping menutup uban. Namun, ia juga perlu mengikut kesesuaian warna kulit sama seperti solekan. Kulit yang cerah perlu disesuaikan dengan mewarnakan rambut dengan warna yang cerah dan begitu juga sebaliknya. Di samping itu, elakkan memilih warna yang lebih daripada dua ton warna rambut anda dan jangan mewarnakan rambut yang berinai kerana ia tidak dapat bercampur dengan baik bersama bahan kimia.
3.                  Mengenakan gincu dengan kemas
Bibir merupakan antara tarikan utama dalam menyerlahkan personaliti seksi dan memukau. Untuk mendapatkan hasil yang menawan gincu perlu disesuaikan dengan bentuk bibir dan warna kulit. Agar sapuan gincu kelihatan cantik, gariskan bibir terlebih dahulu menggunakan penggaris bibir supaya ia terbentuk dengan sempurna. Namun anda perlu memastikan garisan bibir tidak kelihatan. Untuk memastikan gincu tahan lebih lama dan solekan bibir lebih cantik, ratakan sedikit penyamar noda (concealer) atau bedak asas (foundation) supaya mudah membentuk bibir.
4.         Sesuaikan solekan dengan majlis
Anda perlu bijak dalam menentukan solekan yang sesuai untuk sebarang majlis yang berbeza. Ini bagi mengelakkan anda tidak kelihatan pelik ketika menghadiri majlis ataupun aktiviti tersebut. Sebagai contoh, amatlah tidak sesuai jika anda mengenakan solekan yang agak tebal ketika keluar mengadakan aktiviti riadah di tepi pantai. Selain daripada itu juga, anda perlu mengetahui perbezaan di antara solekan siang dan solekan malam.
5.                              Sentiasa membawa bedak padat
Pastikan anda sentiasa membawa bedak padat ke mana sahaja kerana anda perlu sentiasa touch up agar solekan tidak hilang atau pudar. Bedak padat pasti dapat membantu anda untuk membetulkan solekan dengan lebih pantas. Memandangkan ukurannya yang kecil serta bentuknya yang padat ditambah lagi ia mempunyai span dan cermin, maka ia lebih praktikal untuk digunakan. Namun pemilihan bedak padat mestilah bersesuaian dengan kulit anda. Kebiasaannya bedak padat mengandungi lebih banyak minyak dan pelembap namun bagi mereka yang memiliki jenis kulit yang berminyak anda perlu memilih bedak yng berformula oil free yang mempunyai kemampuan menyerap lebihan minyak.

6.                              Jangan lupa bawa pengilap bibir
Pastikan sentiasa membawa pengilat bibir di dalam beg tangan anda kerana ia dapat membaiki penampilan selepas mengambil makanan berat. Bibir yang cantik mestilah tidak dibiarkan pucat. Calitkan sedikit pengilat bibir pasti ia dapat menyerlahkan penampilan anda dengan kilauannya yang mampu memancarkan seri wajah. Pilihlah pengilap bibir yang kaya dengan pelembap agar dapat mengelakkan bibir anda kering dan merekah kerana ia amat menyakitkan dan menjengkelkan.

Kredit: Keluarga Harmoni 1-15 Oktober 2012






















BERSOLEK SEMUDAH 1, 2, 3
§  Bersihkan muka
Untuk menjamin solekan kekal, pastikan kulit wajah anda benar-benar bersih daripada sebarang sisa-sisa kotoran terlebih dahulu. Di samping itu, anda perlulah mengikuti cara-cara penjagaan kulit yang betul. Rutin penjagaan wajah yang betul mampu mengimbangi PH kulit anda. Malah, ia juga mampu menghindari kulit daripada mengeluarkan minyak yang berlebihan, mengelupas serta kering.

§  Concealer
Pemilihan warna concealer atau penyamar cela cukup penting bagi memberi kesempurnaan solekan. Pilih concealer satu tingkat lebih cerah daripada warna kulit wajah anda. Ini kerana, jika menggunakan concealer dengan tingkat warna yang terlalu cerah, akan menonjolkan bahagian yang bermasalah. Aplikasikan concealer di bahagian yang bermasalah seperti jerawat ,kedutan, kulit tidak sekata dan sebagainya dengan menggunakan berus atau jari. Selain itu, ia juga berfungsi untuk menyamarkan lingkaran hitam di bawah mata.

§  Foundation yang sesuai
Sapukan foundation ke seluruh kulit wajah dengan sempurna menggunakan span mahupun berus yang sesuai. Pilih foundation yang bersesuaian dengan kulit wajah anda. Bagi mereka yang mempunyai kulit berminyak, anda boleh memilih foundation jenis stick manakala bagi yang berkulit kering, anda disarankan untuk memakai foundation jenis liquid.  Tujuan foundation ini adalah untuk meratakan ton kulit wajah di samping sebagai make up base. Malah pemilihan foundation yang betul membolehkan kulit bernafas.

§   Sapuan loose powder
Setelah mengenakan foundation yang sesuai, anda boleh mengaplikasikan loose powder atau bedak tabur ke seluruh kulit wajah bagi mencipta kesan liputan (coverage) yang menyeluruh. Warna yang dipilih mestilah match dengan warna foundation sebelumnya. Layangkan loose powder ke muka dengan menggunakan berus besar sementara pada bahagian seperti batang hidung serta sekitar mata, gunakan berus kecil yang lembut. Kelebihannya, ia sangat mudah menyerap minyak di wajah serta dapat menutup pori-pori dengan lebih sempurna.

§  Menatarias mata
Bagi menyerlahkan bahagian mata, anda perlu bijak mengaplikasikan sapuan warna pada bahagian kelopak mata bergantung pada kreativiti sendiri. Pilih eye shadow berwarna cerah terlebih dahulu diikuti dengan warna yang lebih gelap. Kemudian pilih warna yang lebih terang untuk diblend dengan warna asas yang cerah untuk membangkitkan warna pada kelopak mata. Sapukan warna yang lebih terang ini pada bahagian kelopak luar mata supaya mata kelihatan terbentuk dan lebih menarik.

§  Layangkan pemerah pipi
Bagi wanita yang memiliki kulit cerah, warna merah jambu atau warna senada amat sesuai. Manakala bagi wanita yang berkulit sawo matang, anda lebih sesuai mengaplikasikan warna seperti oren atau perang serta coklat muda agar penampilan tamapak lebih eksotik. Pemerah pipi yang disapu rata di tulang pipi akan mampu menyerlahkan kecantikan. Hindarkan sapuan pemerah pipi yang berlebihan kerana ia akan hilang menyebabkan wajah anda hilang keasliannya.
§  Pemakaian lipstik
Anda perlu menggariskan bibir terlebih dahulu dengan menggunakan penggaris bibir di sepanjang garis bibir semulajadi. Pastikan warna penggaris bibir dan lipstik dari warna yang senada agar tidak kelihatan janggal. Kemudian pilih warna liptik yang sesuai dengan warna kulit anda. Setelah mengenakan lipstik, oleskan pula lip gloss pada permukaan bibir bagi memberikan kesan yang lebih seksi pada bibir anda. Di samping itu, anda juga boleh mencampurkan dua atau lebih rona lipstik serta lip gloss untuk mencipta penampilan tersendiri. Bagi memastikan lipstik tahan lebih lama, saat mengoleskan bedak asas, sapu sedikit ke bahagian bibir.


Kredit: Keluarga Harmoni 15-31 Oktober 2012





















KETAHUI 10 JENIS BEDAK ASAS
BEDAK asas atau foundation merupakan riasan penting yang mampu menghasilkan solekan yang lebih halus dan sekata dengan lebih cepat. Selain itu, bedak asas juga berfungsi membantu menyamarkan ketidaksempurnaan pada wajah seperti kesan parut, warna kulit yang tidak sekata dan menyembunyikan kedutan kecil.
Dalam mengaplikasikan penggunaan bedak asas ini, perkara utama yang perlu anda teliti ialah kesesuaiannya terhadap jenis kulit anda. Terdapat pelbagai jenis bedak asas diperkenalkan di pasaran yang memberikan impak yang berbeza mengikut jenis kulit anda.
v  TWO WAY CAKE
Bedak asas jenis ini sesuai untuk semua jenis kulit. Ia boleh dipakai samada menggunakan span basah atau kering. Jika menggunakan span basah, impaknya seperti memakai alas bedak cair atau krim. Manakala, jika menggunakan span kering, hasilnya seperti memakai bedak padat. Namun, kelemahan two way cake adalah mudah berkulat jika cara penggunaannya sering berubah.

v  COMPACT FOUNDATION
Sering menjadi pilihan ramai wanita kerana penggunaanya lebih mudah dan cepat. Ia adalah gabungan antara bedak tabur dan bedak asas dalam satu fungsi. Penggunaannya mudah iaitu dengan hanya menggunakan span.

v  CREAM FOUNDATION
Bedak asas jenis krim ini memiliki tekstur yang lembut dan mengandungi banyak pelembap. Teksturnya yang halus berfungsi menutupi kesan kedutan kecil pada wajah dengan lebih sekata. Oleh sebab ia menimbulkan kesan pelembap, bedak asas ini sesuai untuk wanita berkulit kering dan normal.

v  LIQUID FOUNDATION
Terdapat dua jenis liquid foundation iaitu bahan berasaskan air dan berasaskan minyak. Bagi bedak asas berasaskan air, ia sesuai diaplikasikan pada kulit berminyak dan sensitif. Manakala bagi kulit kering atau mengalami dehidrasi, pilih bedak asas berasaskan minyak untuk kesan yang terbaik.

v  MATTE FOUNDATION
Bedak asas jenis matte amat sesuai digunakan untuk kulit berminyak. Namun, jangan mengaplikasikan bedak ini secara berlebihan atau terlalu tebal kerana sifatnya yang mudah kering. Ini akan menyebabkan solekan anda nampak tidak sekata dan comot.

v  MOUSSE
Bedak asas ini mampu menghasilkan solekan yang lebih natural kerana strukturnya yang sangat halus dan mampu menutup pola-pola kulit secara maksimum. Bedak jenis ini sesuai untuk semua jenis kulit.

v  OIL-BASED FOUNDATION
Amat sesuai digunakan untuk kulit kering kerana struktur bedak ini yang lebih lembap. Namun, sebelum menggunakannya, goncang terlebih dahulu agar formulanya larut dengan sempurna bagi menghasilkan solekan yang lebih sekata dan bersih.

v  SHEER FOUNDATION
Pemakaian bedak asas jenis ini menghasilkan kesan solekan yang alami tanpa meninggalkan kesan berminyak. Ia lebih mudah untuk diaplikasikan kerana kebiasaannya mengandungi silikon.
v  TINTED MOISTURISER
Bedak asas jenis ini jarang digunakan kerana mengandungi pigmen warna. Ia juga tidak dapat menutupi kesan cela pada wajah secara maksimum. Namun, ia merupakan alternatif terbaik jika anda ingin menambahkan kesan coklat pada wajah. Sangat sesuai diaplikasikan bagi solekan yang bersifat natural. Ia sesuai untuk semua jenis kulit.

v  STICK
Fungsi bedak asas jenis ini adalah bagi menutup kesan parut jerawat dan noda hitam pada wajah. Ia sesuai digunakan untuk kulit kering dan normal.

Kredit: Keluarga Harmoni 15-31 Disember 2010


















Inspirasi solekan serlahkan penampilan
Kebijaksanaan anda dalam memilih produk yang tepat dan sesuai dengan struktur kulit mampu menyerlahkan lagi gaya solekan anda. Tekstur produk solekan yang berbeza terhadap jenis kulit yang berbeza, pasti menghasilkan kesan yang berbeza. Justeru, pemilihan tekstur produk yang betul akan memantulkan kesan yang lebih hebat pada wajah anda.
Ikut tip berikut bagi memastikan produk solekan yang dipilih bertepatan dengan diri anda:
1-) BEDAK ASAS (FOUNDATION)
§  Krim dan padat
-          Pilih bedak asas daripada jenis krim, padat dan two way cake bagi kulit berminyak dan berjerawat kerana kepekatannya mampu menutup prori-pori secara langsung. Teksturnya jenis matte membolehkan ia disapu waktu pagi dan semasa melakkukan aktiviti luar.
§  Cair
-          Jadikan bedak asas jenis cair sebagai pilihan bagi kulit kering dan normal keranan kandungan minyaknya membuatkan wajah lebih licin dan berkilat. Untuk menyamarkan pori-pori besar, sapukan concealer atau pore minimiser sebelum menyapukan bedak asas. Sapukan secara tipis dan ratakan dengan span.
2-) PEMBAYANG MATA
§  Serbuk dan tabur
-          Oleh sebab faktornya tidak tahan lama, makan sapukan bedak asas terlebih dahulu sebelum menyapu pembayang mata jenis ini. Jika inginkan kelopak mata yang mengandungi shimmer.
§  Krim dan cair
-          Sifatnya lebih tahan lama kerana mengandungi pelembap. Warnanya tampak lebih berkilat dan lembut. Anda boleh menggunakan jari agar sapuannya lebih rata.
3-) PEMERAH PIPI
§  Serbuk dan tabur
-          Sering menjadi pilihan kerana sifatnya yang mudah digunakan. Gunakan berus besar untuk memberi kesan yang lebih menyeluruh pada pipi. Tekstur jenis matte membuatkan pipi tampak lebih berkilat dan lembap. Sapukan sekurang-kurangnya tiga kali dengan gerakan menyerong atau mengkut kitaran bulatan pada tulang pipi.

§  Krim dan cair
-          Warnanya tampak lebih berkilat dan lebih semulajadi. Sekiranya anda memilih pemerah pipi jenis ini, sapukan sebelum memakai bedak asas. Sapukan sedikit pada pipi dan ratakannya sengan menggunakan jari.







4-) LIPSTIK
§  Padat
Penggunaan lipstik jenis padat akan menampakkan bibir lebih padat dan tahan lama. Sapukan selepas menggunakan pelembap pada bibir dengan menggunakan berus agar sapuan lebih rata. Untuk menambahkan kesan kilatan, akhiri dengan sapuan pengilat bibir.

§  Cair
-          Sifatnya tidak tahan lama dan memerlukan sapuan yang lebih kerap. Warnanya lebih berkilat dan lembut. Bibir akan kelihatan lebih segar dan wajah tampak lebih muda. Telah disertakan bersamam pelembap dan boleh disapukan secara terus pada bibir.

5-) BEDAK
§  Padat
- teksturnya yang padat mampu menutup pori dan menyamarkan kesan jerawat pada wajah. Kebiasaannya disapu pada wajah bagi penyermpurnaan akhir solekan.

§  Translucent
-          Boleh disapu secara terus selepas menggunakan bedak asas atau pelembap kerana teksturnya yang lebih lembut. Sesuai untuk kulit yan gtidak bermasalah dan normal.
Kredit : Keluarga Harmoni 1-15 November 2010















KENALI TUBUH UNTUK KECANTIKAN SEMPURNA
Cantik biarpun bersifat subjektif namun ia memberi gambaran dan makna yang tersendiri. Ramai wanita yang sanggup melakukan apa sahaja demi penampilan yang menarik dan kecantikan yang sempurna. Oleh itu, adalah penting agar anda mengenali struktur tubuh anda bagi memudahkan anda mengenali gaya solekan yang bersesuaian.
Tubuh Tinggi
v  Tubuh yang langsing dan tinggi bagai super model merupakan idaman setiap wanita. Namun, memiliki tubuh tinggi tidak bermakna anda sesuai dengan semua gaya dan solekan. Kebiasaanya, wanita bertubuh tinggi lampai ini memiliki tulang wajah yang keras dan bentuk mata yang kurang simetri.
§  Gaya solekan : Bagi mendapatkan kesan solekan yang sempurna elakkan daripada melakukan teknik shading. Ini akan menambahkan kesan keras pada tulang wajah. Gunakan blusher dengan sapuan lembut dan kelihatan samar-samar.
Tubuh Pendek
v  Tubuh kelihatan pendek berpunca daripada bentuk kaki yang tidak terlalu panjang sehingga tubuh kelihatan agak ‘tenggelam’. Umumnya wanita yang memiliki tubuh yang pendek memiliki struktur wajah yang panjang dan cenderung tirus serta garis senyuman yang jelas kelihatan di sekitar mulut.
§  Gaya solekan : Jika anda memiliki wajah yang tirus, jangan memakai blusher secara berlebihan dan elakkan memilih warna yang terlalu terang. Warna lembut seperti pink atau putih. Dalam penggunaan foundation pula, elakkan memakainya terlalu tebal.
Tubuh Gemuk
v  Tidak perlu khuatir jika anda memiliki tubuh yang agak gemuk kerana anda juga mampu tampil menarik. Kebiasaannya, seorang wanita yang bertubuh gemuk memiliki struktur wajah yang kontras, iaitu bentuk pipi yan gbulat dan besar serta kelopak mata yang kecil.
§  Gaya solekan : Elakkan daripada menggunakan foundation atau bedak terlalu terang daripada warna kulit. Pilih warna senada dengan kulit. Hindari daripada solekan mata yang terlalu terang seperti menggunakan eye shadow rona terang dan alis yang terlalu tebal. Solekan lembut paling tepat buat anda. Sebagai koreksi, gunakan teknik shading pada bawah dagu, pipi dan dahi untuk memberikan kesan tirus dan lembut pada wajah dengan menggunakan bedak satu tingkat dengan menggunakan bedak satu tingkat lebih tua daripada warna kulit.
Tubuh Profesional
v  Bentuk tubuh professional lebih kepada bentuk tubuh dan kaki yang seimbang. Wanita dikatakan lebih berkeyakinan dengan bentuk tubuh seperti ini. Namun bentuk tubuh seperti ini cenderung memiliki bentuk pinggang dan wajah yang terlalu lebar atau besar.
§  Gaya solekan : Bagi solekan mata, bentukkan alis agak melengkung dan tipis. Gunakan teknik shading antara tulang pipi sehingga ke bahagian bawah dagu untuk menimbulkan kesan wajah yang agak tirus. Manakala, bagi penggunaan blusher, sapukan pada bahagian bawah tulang pipi untuk menimbulkan kesan wajah yang agak panjang.

Kredit: Keluarga Harmoni 15-31 Oktober 2008
7 TRIK SOLEKAN SEMBUNYIKAN PENUAAN WAJAH
Pertambahan usia bukanlah penyebab utama kulit semakin hilang keanjalannya. Faktor persekitaran seperti sinaran matahari, pencemaran dan sebagainya turut mempengaruhi. Saat inilah pelbagai masalah mulai timbul seperti bintik halus, kedutan, jeragat dan sebagainya yang menjadi igauan ngeri kebanyakan wanita yang telah mencapai usia 40-an dan ke atas.
Perubahan ini tidak mampu dielakkan, melainkan jika anda mendapat khidmat pembedahan atau suntikan untuk mengembalikan semula keremajaan kulit anda. Namun ia pasti ada risikonya. Bagi anda yang tidak mahu mendapatkan “bantuan” sebegini, tujuh trik solekan yang diberikan oleh dua pakar solek terkenal ini boleh anda jadikan panduan.
v  MULAKAN DENGAN BEDAK ASAS YANG RINGAN
Kebanyakkan wanita cuba menyembunyikan kedutan di wajah dengan mengaplikasikan bedak asas yang agak tebal. Cara ini sebenarnya salah kerana solekan yang tebal hanya akan membuatkan kedutan itu bertambah menonjol. Penulis The Makeup Wakeup: Revitalising Your Look At Any Age, Sandy Linter berkata, solekan tebal tidak mampu menyembunyikan kedutan. Sandy mengesyorkan agar menggunakan bedak asas yang ringan dengan sapuan nipis.

v  BERSOLEK SETIAP HARI
Jika anda masih mengekalkan solekan yang sempurna pada wajah, tahniah diucapkan. Ini kerana kebanyakan wanita yang telah mencapai usai 40-an seolah-olah membiarkan wajah terdedah tanpa sebarang solekan. Solekan memberi kelembutan dan menimbulkan kesan cemerlang di wajah. Jika tidak mahu mengenakan solekan penuh sekalipun, cukuplah kiranya jika anda mengenakan bedak asas, maskara dan sedikit gincu sebelum keluar rumah,

v  SERLAHKAN MATA ANDA
Mata adalah bahagian pertama di wajah yang menjadi tumpuan seseorang ketika anda bertemu dengannya. Atas alasan itulah Sandy amat menekankan pentingnya solekan mata. Mulakan dengan bayangan rona primer atau asas untuk meratakan kelopak mata. Kemudian bentuk mata dengan pensel mata coklat gelap atau hitam agar mata tampak lebih besar. Gunakan pembayang mata rona natural. Untuk sentuhan akhir, lentikkan bulu mata lalu aplikasikan maskara hitam.

v  PADAMKAN LINGKARAN GELAP
Saat kita menumpukan solekan pada mata, jangan abaikan lingkaran gelap yang hadir di sekitarnya. Biarpun sukar untuk menyembunyikan lingkaran gelap ini, namun ia boleh dikurangkan dengan menggunakan concealer rona natural agar sapuan pada kulit tampak semula jadi. “Rona lembut akan menjadikan lingkaran gelap kembali natural, dan warna gelap hanya akan menyebabkan ia bertambah menonjol,” ujar Professor Klinikal, Dermatologi, Mount Sinai School of Medicine, Nelson Lee Novick.





v  TAMBAHKAN RONA GANGSA
Usia yang semakin bertambah menjadikan kulit semakin tidak bermaya dan kurang bercahaya. Kembalikan semula cahaya semulajadi kulit anda dengan bantuan sedikit rona gangsa. Sandy mengesyorkan agar rona gangsa atau perang disapukan pada tulang pipi, garis rambut, atas dahi dan sisi hidung.

v  TONJOLKAN TULANG PIPI
Rona gangsa tidak cukup menjadikan wajah anda tampak bercahaya, tambahkan sentuhan pemerah pipi di atasnya. Untuk mencipta kesan semulajadi, cari kedudukan sebenar tulang pipi anda dengan cara menyentuhnya dengan jari anda. Sapuan pemerah pipi harus dimulakan pada tulang di bawah mata menuju ke atas mengikut garis tulang pipi semulajadi. 

v  PENGILAP BIBIR
Selepas mata, bibir adalah bahagian kedua wajah yang sering manjadi tumpuan. ”Kebanyakan wanita berusia gemar menggunakan gincu rona gelap terutamanya coklat dan merah tua. Ini menyebabkan wajah kelihatan bertambah tua,” ujar Nelson. Lupakan rona gelap ini sebaliknya gunakan warna-warna natural atau lembut. Tidak salah kiranya jika ingin menggunakan pengilap bibir agar kelihatan lebih anjal.

Kredit: Keluarga Harmoni 1-31 Mei 2012

















SOLEKAN MATA MEMPESONA PANDANGAN
Mata merupakan elemen penting dalam membangkitkan personaliti terhadap penampilan wanita. Biarpun setiap wanita dikurniakan bentuk mata yang berbeza, namun dengan bantuan solekan ia mampu menimbulkan impak yang begitu mempesonakan. Panduan solekan mengikut keadaan mata agar aura kejelitaan anda lebih menyinar:-
v  MATA BESAR / BUNDAR
Memiliki mata sebegini sememangnya cukup bertuah. Untuk solekan mata ini, hindari penggunaan pembayang mata warna gelap, sebaliknya gunakan warna terang atau perak. Pilih dua ton warna yang berbeza. Aplikasikan warna terang di seluruh kelopak mata hingga ke bawah alis. Kemudian, sapukan warna yang agak gelap di sudut luar mata dengan membaurkan ke arah dalam hingga hampir bahagian tengah kelopak mata. Agar mata tampak lebih seksi dan menawan, aplikasikan mascara pada bulu mata anda.

v  MATA BERKANTUNG
Gejala mata sembap, bengkak atau berkantung pada bahagian bawah mata timbul akibat kurang tidur atau terlalu letih. Justeru, solekan harus lebih halus bagi menutup kekurangan ini. Selepas memakai bedak alas, tutup kantung mata dengan menggunakan concealer. Sapukan dengan nipis bagi mengelakkan kerutan yang tidak dialami. Gunakan bedak tabur bagi meratakan warnanya. Gunakan pembayang mata rona coklat tua bagi menimbulkan kesan yang alami. Jika ingin menggunakan eyeliner, pilih warna yang tidak terlalu gelap agar mata tidak kelihatan semakin gelap.

v  MATA SEPET
Bagi membentuk kelopak mata, tempelkan scotch tape berukuran dua hingga tiga milimeter dengan membentuknya seperti bulan sabit di atas garisan samar kelopak mata. Aplikasikan pembayang mata rona agak gelap seperti coklat tua, biru tua, ungu tua atau hijau tua dengan riasan smokey eyes. Ketika memakai eyeliner, jangan buat garisan terlalu panjang sehingga melewati sudut mata luar kerana mata akan kelihatan segaris. Jika ingin memakai bulu mata palsu, pilih berdiameter setengah atau bulu mata satuan. Akhir sekali, aplikasikan maskara agak tebal bagi menimbulkan kesan lebih dramatik.

v  MATA KECIL
Wanita yang memiliki mata kecil atau mata kucing, amat sesuai menggunakan teknik solekan smokey eyes kerana boleh membuatkan mata lebih tajam dan besar. Piih warna gelap yang kabur (smudge) bagi mengaplikasikannya di garisan bawah alis. Ambil berus pembayang, kaburkan garisan di bahagian atas alis sehingga kelihatan sekata. Pastikan adunan warna gelap tidak melepasi kelopak mata. Kemudian, akhiri dengan sapuan maskara dan serbuk kilauan.

v  MATA TAK SEIMBANG
Umumnya, bentuk mata kanan dan kiri tidak sama namun tidak menunjukkan perbezaan yang cukup jelas. Agar ia tampak seimbang, bulu mata palsu boleh membantu. Sebelum itu, aplikasikan pembayang mata seperti biasa. Bagi bahagian mata yang lebih baik, pilih apa sahaja bentuk bulu mata yang digemari. Manakala, bagi mata berikutnya, pasang bulu mata pada bahagian sudut luar mata pada posisi lebih tinggi. Buat garisan lebih tebal pada sudut luar mata dengan menggunakan eyeliner. Akhir sekali, aplikasikan maskara dengan lebih tebal pada mata tersebut.

v  MATA BERJAUHAN
Kedudukan mata yang berjauhan dapat diperbaiki dengan memberi kesan shading iaitu menggunakan highlight pensel di bahagian tengah kelopak mata. Gunakan pensel alis rona hitam atau coklat bagi memanjangkan pangkal alis agar mata kelihatan lebih dekat. Aplikasikan pembayang mata dengan rona sedikit gelap agar mata tampak lebih alami dan memikat.

























MEMILIH PERFUME YANG TEPAT
Aroma perfume atau minyak wangi untuk wanita sememangnya agak berlainan dengan perfume lelaki. Sebenarnya penggunaan perfume bukan sahaja berbeza mengikut jantina malahan merangkumi aspek personaliti atau keperibadian seseorang.
Tahukan anda, aroma bagi dua orang wanita berbeza walaupun mereka menggunakan perfume yang sama? Memakai perfume secara berlebihan juga boleh mendatangkan ketidakselesaan anda. Ikuti panduan berikut bagi mengenal pasti perfume yang sesuai mengikut keperibadian anda:-
*       Wanita sportif
Keperibadian : Seorang yang aktif, berpendirian teguh, jujur dan kurang sabar. Tergolong dalam semua peringkat umur.
Aroma : Sesuai dengan aroma berasakan tumbuh-tumbuhan liar dan berasaskan tanaman pewangi ringan.

*                   Wanita periang
Keperibadian: Gemar berada di mana sahaja, pandai menyesuaikan diri, mudah menaruh minat pada sesuatu tetapi mudah mengubah pendiriannya, cepat menerima atau menangkap sesuatu perkara dan kurang setia. Mempunyai idea kreatif, progresif dan cepat bertindak. Umumnya tergolong dalam usia 20 hingga 45 tahun.
Aroma : Sesuai dengan aroma yang sederhana namun memikat.

*                   Wanita Romantik
Keperibadian : Memiliki pemikiran yang sederhana dan tidak rumit dan bercita-cita tinggi. Aspek kesederhanaan merupakan daya penarik utama. Ia tergolong dalam wanita muda yang memiliki sifat polos (lurus).
Aroma : Sesuai dengan aoma romantis daripada flora seperti mawar, lili dan melur.

*                   Wanita pintar
Keperibadian : Jika inginkan sesuatu haruslah tepat, agak pendiam, setia, sentiasa bersedia memberi nasihat kepada orang yang memerlukan, kuat menyimpan rahsia dan setia. Wanita dalam golongan ini kebiasaannya telah cukup matang dalam pemikiran.
Aroma: Sesuai dengan pewangi dari aroma sederhana yang memberi kesan mempesona, dingin dan sportif.

*                   Wanita dewasa
Keperibadian : Sudah cukup dewasa dalam kehidupan dan pergaulan. Begitu menjaga penampilan diri agar kekal menarik. Tergolong dalam usia 30 ke atas.
Aroma: Sesuai dengan pewangi eksotik dengan aroma wangian dari negara-negara tropika atau beriklim panas.







PANDUAN MEMAKAI DAN MENYIMPAN:
v  Waktu pagi adalah masa yang sesuai untuk membeli perfume kerana ketika ini kulit anda masih segar. Bagi memilih aroma yang sesuai, semburkan sedikit pada pergelangan tangan dan biar beberapa saat sebelum anda menghidunya. Jangan gosokkan pergelangan tangan anda.

v  Elakkan daripada mencuba tiga jenis aroma sekaligus kerana ia boleh mengurangkan kemampuan hidung untuk menghidu aroma yang sebenar. Jarakkan masa antara 20 hingga 30 minit sebelum mencuba aroma lain atau hidu aroma kopi sebelum menghidu aroma perfume yang berikutnya.

v  Semburkan perfume pada kulit seperti pada pergelangan tangan dan belakang telinga. Elakkan daripada menyemburnya pada pakaian anda.

v  Pastikan botol perfume anda sentiasa ditutup bagi mengelakkan aromanya hilang. Jauhkan daripada sinaran matahari. Simpan di tempat yang sejuk dan gelap.

Kredit: Keluarga Harmoni 1-15 November 2008
















KEKALKAN HARUMAN MINYAK WANGI
TENTU anda tidak senang duduk jika terlupa mengenakan minyak wangi sebelum melangkah keluar dari rumah. Wangian sememangnya memainkan peranan yang cukup penting dalam meningkatkan keyakinan diri terutamanya kala berada di khalayak ramai. Jadi tidak hairanlah jika ramai yang sanggup membelanjakan ratusan ringgit semata-mata mendapatkan wangian idaman.
Walaubagaimanapun, kita sering mengabaikan cara pengunaannya sehingga haruman yang sebenar kurang menyerlah malah mudah beransur hilang. Ketika menggunakan minyak wangi anda sebenarnya perlu memerhatikan beberapa perkara seperti:-
1.      SESUAIKAN DENGAN LOSEN BADAN
Adakah anda sering menggunakan losen badan selepas mandi? Jika ya, pastikan harumannya bersesuaian dengan haruman minyak wangi anda. Ini bagi mengelakkan timbulnya bau yang saling berlawanan. Selain itu, gunakan losen telebih dahulu sebelum mengenakan minyak wangi kerana losen mampu mengurangkan haruman minyak wangi anda.

2.      SEMBUR PADA KULIT
Kita mungkin telah terbiasa menyembur minyak wangi pada pakaian. Tabiat ini kurang digalakkan kerana air semburan minyak wangi tersebut boleh meninggalkan tompokan kecil pada pakaian anda. Sebaiknya, semburkan secara terus pada kulit anda sebelum mengenakan pakaian.

3.      SEMBUR PADA BAHAGIAN YANG TEPAT
Bahagian tubuh yang sesuai dan tepat ialah pada pergelangan tangan di bahagian nadi, siku, lengan bahagian dalam, belakang telinga, dada dan leher. Semburan minyak wangi pada bahagian ini membuatkan haruman kekal lebih lama berbanding bahagian tubuh lain.

4.      JANGAN GOSOK SELEPAS SEMBUR
Terdapat sesetengah invidu gemar menggosokkan kedua-dua pergelangan tangan selepas mengenakan minyak wangi. Cara sebegini boleh menghilangkan aroma daripada minyak wangi tersebut. Jadi, biarkan sahaja minyak wangi tersebut kering dengan sendirinya tanpa menggosoknya dengan pergelangan tangan anda.

5.      JANGAN PAKAI AKSESORI SEBELUM SEMBURAN
Bahan yang terkandung dalam mianyak wangi boleh mengakibatkan kerosakan pada aksesori seperti jam tangan, subang, rantai mahupun cincin anda. Warna aksesori anda mungkin akan berubah jika terkena semburan mainyak wangi anda. Justeru, jangan pakai aksesori sebelum menyembur minyak wangi ke tubuh anda.

6.      GUNAKAN SEWAJARNYA
Elakkan menyembur minyak wangi secara berlebihan. Harus diingat tidak semua individu di sekeliling anda menggemari aroma minyak wangi yang anda pakai. Aroma yang terlalu kuat boleh menimbulkan ketidakselesaaan buat orang sekeliling. Selain itu sesuaikan dengan jenis kulit anda. Bagi berkulit kering, anda memerlukan semburan yang lebih banyak berbanding anda yang memiliki kulit berminyak.

7.      SIMPAN DI TEMPAT SESUAI
Minyak wangi yang tidak ditutup dengan rapat boleh menyebabkan aromanya mudah meruap. Jadi, pastikan minyak wangi anda ditutup dengan rapat. Simpankan di tempat yang kering dan sejuk serta terhindar daripada sinaran matahari. Harus diingat bahawa bahawa aroma minyak wangi akan berubah dalam tempoh masa tertentu. Justeru, sesuai jumlah kandungannya dengan tahap keperluan anda.

Jenis-jenis minyak wangi:
Perfume - Mengandungi kepekatan mnyak wangi yang tinggi iaitu antara 20 hingga 50 peratus. Tahan lebih lama dan harga lebih mahal.

Eau De Perfume (EDP) – Mengandungi minyak wangi antara 10 hingga 15 peratus. Wangian yang paling popular kerana lebih murah berbanding perfume. Tahan lebih lama. Sangat sesuai dipakai di bahagian badan terutamanya pergelangan tangan, tepi leher, lipatan siku dan dada. Jangan letakkan terlalu banyak di belakang telinga bagi mengelakkan bau yang terlalu menyengat.

Eau De Toilette (EDT) – Campuran perfume antara tiga hingga lapan peratus. Hanya mampu bertahan antara tiga hingga empat jam bergantung pada jenis kulit.

Cologne – Mengandungi pati perfume yang sangat sedikit iaitu sekitar tiga peratus sahaja. Wangian yang mempunyai kepekatan minyak wangi yang sangat sedikit dan lebih murah berbanding yang lain.

Kredit: Keluarga Harmoni 15-31 Mei 2011













SOLEKAN..RAHSIA ANGGUN KE PEJABAT
WAJAH yang kusam dan tidak bermaya kala melangkah ke pejabat bukan sahaja akan mempengaruhi psikologi anda, malahan mengundang persepsi negatif pada pandangan orang di sekeliling. Rutin penjagaan kecantikan dan kesihatan yang sempurna merupakan pengukur tahap keyakinan anda kala berada di persekitaran, khususnya melakukan tugas rutin sebagai individu yang sentiasa sibuk.
Bagi wanita, solekan umpama topeng yang mampu menyembunyikan segala kekurangan dan menyerlahkan segala kecantikan. Perkara ini tidak dapat kita nafikan kerana dengan kuasa solekanlah yang membantu wanita untuk terus yakin dan bersemangat kala berdepan dengan khalayak. Untuk tampil anggun ke pejabat, panduan berikut mungkin boleh membantu anda.
WAJAH
1.       Sebelum bersolek, pastikan wajah anda dibersihkan serta aplikasikan penyegar dan pelembap. Jika ingin menggunakan bedak asas cecair, letakkan lima titik bedak pada wajah iaitu di dahi, hidung, kedua-dua pipi dan dagu. Kemudian ratakan dengan menggunakan jari, berus atau span.
2.       Jika anda lebih selesa menggunakan jari, pastikan hanya jari telunjuk dan tengah sahaja digunakan kerana pengaliran haba pada bahagian jari ini akan menghasilkan sapuan lebih sekata dan rata. Sapukan secara ke atas serta ditarik ke arah luar kiri dan kanan bagi melancarkan peredaran darah sekaligus menjadikan wajah lebih muda.
3.       Ketika membuat sapuan, utamakan kawasan yang sering kemerahan seperti hidung, bawah mata dan sekeliling bibir. Jangan lupa bahagian leher supaya tidak wujud perbezaan yang ketara antara wajah dan leher.
4.       Berikan lebih tumpuan pada bahagian mata dengan membuat sapuan membulat dari ekor mata sehingga pelupuk mata. Setelah sekata, aplikasikan bedak tabur bagi sapuan terakhir bagi mendapakan kesempurnaan solekan.

MATA
1.       Jika mengalami lingkaran gelap, sapukan penyamar noda di kawasan bawah mata agar kelihatan lebih cerah. Campurkan penyamar noda merah jambu dan kekuningan, sapukan betul-betul di bawah bulu mata. Elakkan sapuan di bawah bulu mata.
2.       Jika memiliki mata yang agak kecil, sapukan sedikit penggaris mata rona coklat pada sudut di bawah mata. Penggaris mata rona putih boleh dipakai pada sudut dalam bawah mata bagi menghasilkan ilusi mata lebih besar dan segar.
3.       Apabila menggunakan pembayang mata, mulakan dari bahagian bawah kelopak mata, paling hampir dengan bulu mata, dan sapukannya menghala ke bahagian atas kelopak mata. Gunakan warna yang lebih cerah sebagai warna asas dan warna yang lebih gelap sebagai warna utama.
4.       Untuk menghasilkan kening yang cantik, gunakan pensel untuk kening. Mulakan dengan menggaris bahagian dalam kelopak mata dengan garisan yang nipis, dan tebalkannya sedikit ke arah luar kelopak mata. Pilih pensel hitam untuk kesan dramatik dan warna perang untuk kesan natural. Akhir sekali, hasilkan jelingan mata yang lebih galak dengan sapuan maskara.


PIPI
1.       Salah satu trik bagi menghasilkan wajah yang segar dan anggun adalah dengan menggunakan pemerah pipi yang diaplikasikan di bahagian atas tulang pipi.
2.       Bagi wanita Asia, campuran pemerah pipi rona pic dan merah jambu adalah sangat sesuai. Aplikasikan campuran rona ini dari arah belakang pipi (dekat dengan telinga) ke arah tengah pipi, yakni gerakan dari luar ke dalam. Ia amat penting bagi memastikan sapuan tidak terlalu tebal di bahagian tengah.
BIBIR
1.       Gunakan lipstik yang agak berkilau (glossy) yang mengandungi pelembap yang tinggi bagi menghasilkan gaya yang menawan serta menampilkan imej manis dan muda. Gaya anda juga akan tampak lebih seksi dan anggun.
2.       Anda juga boleh menggunakan lipstik matte yang mempunyai struktur yang kering tanpa kilatan. Lipstik jenis ini memberikan imej matang dan sofistikated. Kandungan pelembap yang minimum menjadikan warnanya bertahan lebih lama.
3.       Lipstick rona merah jambu lembut dan pic adalah disarankan kerana ia mampu memberi kesan lebih segar. Jika anda memilih untuk mengenakan lipstik rona nude, sapukan penggaris bibir rona merah jambu keperangan dan tambahkan sedikit pengilat bibir.
Kredit: Keluarga Harmoni 1-15 April 2012
















PERALATAN WAJB UNTUK TAMPIL MENAWAN
TERDAPAT banyak peralatan kosmetik yang boleh membantu menghasilkan solekan yang indah dan menawan. Namun, tidak semua peralatan tersebut diperlukan dalam beg solek anda. Penulis Beauty: The New Basics, Rona Berg, telah menyenaraikan beberapa peralatan penting yang diperlukan dalam menyerlahkan kuasa solekan.
ANTARANYA:
Berus pemerah pipi: Pilih berus yang berukuran sederhana dengan hujung yang melengkung sempurna. Bagi mencipta kesan natural, gunakan berus ini pada bahagian wajah yang ingin diberi high light.
Berus bedak: Berus berukuran besar dan lembut membantu meratakan bedak pada keseluruhan wajah. Berus ini juga boleh digunakan untuk mengurangkan lebihan bedak pada wajah.
Berus eyeshadow: Berus kecil dengan hujung runcing di satu sudut akan membantu anda mendapatkan garis yang diinginkan tepat di ruang kelopak mata anda. Berus ini juga berfungsi mengemaskan alis mata.
Bentuk bibir: Bentuk berus bibir cenderung meruncing di tengah dengan ukuran yang kecil dan lembut untuk disapukan pada bibir. Bukan sahaja menghasilkan garis bibir yang baik, malahan boleh meratakan lipstik yang disapukan di bibir.
Span segi tiga: Span jenis ini memiliki hujung yang runcing dan nipis di salah satu sisinya. Bahagian runcing tersebut berfungsi meratakan foundation pada bahagian tertentu wajah seperti bawah hidung dan sekitar mata.
Span rata: Span ini digunakan untuk menyapu bedak padat dengan lembut dan rata. Namun, span yang turut digunakan untuk touch up solekan ini terutamannya untuk kulit berminyak perlu digantikan selepas beberapa kali penggunaan.
Penyepit kecil (tweezer): Biarpun tampak remeh, penyepit kecil ini amat penting kegunaannya. Pilih penyepit dengan hujung runcing bagi memudahkan anda membuang lebihan bulu kening dan rambut halus pada wajah anda.
Penyepit bulu mata: Fungsinya cukup besar dalam menghasilkan bulu mata yang lebih lentik dan memukau. Gunakannya sebelum mengaplikasikan mascara untuk hasil yang lebih menyerlah.
Pengasah: Digunakan untuk menajamkan semula lipstik berbentuk pensel dan eyeliner. Pilih pengasah yang mempunyai dua bahagian iaitu satu bahagian khas untuk mengasah lipstik dan satu bahagian lagi untuk eyeliner.
Tisu: Pastikan tisu lembap atau kering sentiasa ada dalam beg solek anda. Fungsinya cukup penting dalam merapikan sisa-sisa solekan atau mengurangkan lipstik pada bibir anda.
Beg solek kecil: Simpan segala peralatan kosmetik anda di dalam beg solek kecil bagi mengelakkannya mengenai beg tangan anda. Selain tidak mudah cicir, anda lebih mudah mencarinya ketika ingin menggunakannya.



PANDUAN MENJAGA ALAT SOLEK:
§     Pastikan alatan kosmetik sentiasa dalam keadaaan baik. Buang alatan yang sudah berbau dan kotor. Misalnya jika wajah mula ditumbuhi jerawat, mungkin span atau berus yang digunakan telah dijangkiti bakteria.
§     Cuci berus alat solek anda setiap kali menggunakannya. Paling mudah gunakan tisu lembap untuk membersihkannya. Hindari berkongsi span mahupun alat solek lain dengan rakan-rakan terutamanya jika mereka mempunyai kulit bermasalah seperti jerawat dan sebagainya.
§     Asah eyeliner dan pensel gincu setiap kali digunakan untuk mendapatkan lapisan baru. Lapisan lama mungkin sudah kotor dan tidak sesuai jika digunakan pada orang lain.
§     Kosongkan beg solek dan bersihkannya dengan menggunakan cecair pelembap atau tisu lembap. Gantikannya jika kotoran yang melekat padanya sukar utnuk dibersihkan atau terlalu lama digunakan.

Kredit: Keluarga Harmoni 1-15 April 2011





















KUASA SOLEKAN MENGIKUT WARNA ANAK MATA
DARI mata turun ke hati. Mata juga mempunyai daya penarik yang luar biasa kerana sepasang mata yang menawan mampu memukau mata yang memandang. Apatah lagi jika dirias dengan solekan pembayang mata atau eye shadow yang kena dengan gayanya. Kuasa solekan pembayang mata mampu membuat mata yang lesu kembali bercahaya dan mata yang bundar pula tampak lebih galak.
Solekan mata yang betul dapat menyerlah keperibadian seseorang melalui teknik dan rona yang digunakan. Oleh itu, anda perlu mengambil kira beberapa faktor sebelum mengenakan solekan ke atas mata. Namun usah risau kerana kini terdapat pelbagai jenis, tekstur dan warna pembayang mata yang boleh menyerlahkan keindahan mata dan penampilan anda.
Bagaimanapun, selain warna kulit dan juga rambut, anak mata juga menjadi elemen penting dalam merias bahagian kelopak mata. Jadi sebelum mula bersolek, ikuti beberapa panduan mengenai teknik dan padanan warna yang tepat dengan rona anak mata anda terlebih dahulu.
PADANAN PEMBAYANG MATA DENGAN ANAK MATA:
Anak Mata Biru
Kanta lekap jenis ini sesuai bagi si pemakai yang mempunyai warna kulit yang cerah. Padanan warna untuk solekan mata yang sesuai dengan kanta lekap ini ialah jingga, merah jambu, biru, coklat, ungu, putih, keemasan, perak, karamel dan toffee.
Si pemilik mata berwarna biru ini perlu mengelakkan warna hijau dan merah untuk merias mata anda.
Anak Mata Coklat
Selalunya kanta lekap berwarna coklat lebih menjadi pilihan si pemakai. Selain hitam, di Malaysia juga terdapat sesetengah orang yang memiliki mata coklat semula jadi.
Pemilik yang memiliki mata coklat ini memang bertuah kerana mereka boleh menghiaskan mata dengan semua jenis warna. Tetapi sekiranya mereka inginkan yang terbaik untuk mata mereka, rona pembayang mata yang paling sesuai ialah toffee, putih dan coklat gelap.
Anak Mata Hijau
Pembayang mata yang sesuai adalah rona pic dan merah jambu. Selain itu rona copper, kombinasi hijau dan kuning, ungu, plum dan jingga aprikot sesuai untuk pemilik mata berwarna ini.
Dengan menggunakan rona warna seperti yang dicadangkan, ia akan menghasilkan sesuatu yang unik dan pelik di samping memberikan kelainan kepada si pemakainya. Rona yang perlu dihindari pula ialah warna biru.
Anak Mata Kelabu
Kanta lekap kelabu sesuai bagi individu yang bermata galak secara semulajadi. Koleksi warna yang sesuai untuk si mata galak ini ialah merah jambu, turquoise, biru, plum dan ungu.
Bagi yang memiliki kulit cerah, rona sheer green juga sesuai diriaskan di mata, tetapi tidak bagi mereka yang berkulit gelap kerana warna tersebut tidak akan menonjolkan keceriaan pada mata anda. Warna yang perlu dielakkan bagi si mata kelabu ini ialah coklat.

JENIS-JENIS PEMBAYANG MATA
Terdapat juga teknik solekan yang sesuai untuk menaikkan lagi seri mata supaya nampak seimbang mengikut penampilan diri si pemakainya. Terlebih dahulu anda perlu mengenali jenis pembayang mata kerana ia kan memberi kesan warna yang berbeza.
Matte
Pembayang mata jenis Matte ini lebih tahan lama dan mempunyai pelbagai pigmen warna. Mudah disapu walaupun hanya menggunakan jari. Meskipun warnanya kelihatan pudar, tetapi apabila disolek ia akan kelihatan jelas.
Krim
Pembayang mata jenis ini pula bersifat sementara. Ia terdapat dalam bentuk melekit tetapi menghasilkan warna yang berkilau. Sapuan yang terbaik adalah dengan menggunakan jari berbanding berus.
Krayon/pensel
Bertindak seperti celak dan boleh juga digunakan sebagai celak atau disapu di kawasan kelopak mata. Ia menghasilkan kesan yang berkilat, matte dan metalik. Boleh digunakan dengan jari atau berus untuk meratakan kelopak mata.
Shimmer
Sesuai bagi mereka yang tidak gemar warna yang menonjol. Penggunaan warna yang terang dapat memberikan kesan highlight namun tidak pula bagi shimmer yang berwarna gelap untuk membentuk kesan semi dramatis. Shimmer ini akan memberikan kilauan mata yang cantik.
Glitter
Bagi anda yang ingin menghadiri majlis makan malam atau kepada bakal pengantin sesuai memilih pembayang mata jenis glitter. Pengaplikasian yang baik dapat menghasilkan solekan yang dramatik dan berkilau.
Smokey Eyes
Jenis solekan yang sesuai digayakan ialah melalui kaedah smokey dengan menggabungkan tiga rona warna yang terang hingga ke warna gelap seperti coklat dan hitam. Teknik ini sesuai bagi mereka yang mempunyai mata kecil, kelopak mata cembong atau kelopak mata dalam. Pemilihan warna gelap seperti coklat gelap, hitam arang, biru tua, merah bata atau ungu manggis adalah paling sesuai untuk teknik ini sekaligus tampak lebih galak.
Socket Eyes
Teknik ini memerlukan lebih tiga warna dan lebih meriah dengan warna-warna yang ceria. Jenis solekan ini sesuai bagi mereka yang memiliki mata bundar, sembap atau bengkak. Kesesuaian warna seperti putih gading (mutiara), warna siber (emas dan perak), oren, biru muda, merah jambu, hitam dan coklat digunakan untuk socket eyes ini. Kilauan keemasan di bingkai mata menyerlahkan dan memberikan kesegaran pada sepasang mata si empunya diri.

TIP MEMAKAI PEMBAYANG MATA
§  Sebelum meletakkan pembayang mata, seeloknya dikenakan solekan asas seperti menyapu krim asas atau foundation dan pelembap. Kemudian sapukan bedak di kelopak mata untuk menyerap minyak yang terdapat di sekitarnya. Apabila solekan asas dikenakan, wajah akan kelihatan lebih sempurna dan kemas selepas dirias.
§  Untuk memberikan hasil solekan mata yang kekal lama juga, sapukan bedak tabur di bahagian kelopak mata untuk menaikkan seri warna.
§  Selepas solekan asas dikenakan ke wajah, tibalah masa untuk mewarnakan kelopak mata. Gunakan berus besar untuk teknik meratakan solekan di kelopak mata anda supaya ia lebih teratur dan kemas.
§  Sekiranya anda ingin menggunakan lebih dari satu warna, pastikan serasi dengan setiap warna yang dipilih.
§  Jangan lupa pupukkan sekali lagi bedak tabur di bawah mata dengan menggunakan berus besar untuk kemaskan kembali sisa pembayang mata yang mungkin akan mencacatkan solekan anda. Solekan yang menggunakan teknik yang betul dapat memberikan kesegaran pada mata anda.

Kredit: Keluarga Harmoni 15-31 Mei 2011

















KENALI SEPATU AGAR LANGKAH LEBIH YAKIN
KEBANYAKAN wanita membeli sepatu kerana tertarik dengan reka bentuk mahupun warnanya semata-mata. Akbiatnya, langkah menjadi tidka selesa atau kaki menjadi sakit kerana sepatu yang dipakai tidak sesuai dengan situasi mahupun bentuk kaki.
Dalam memilih sepatu bersesuaian, kita seharusnya bijak memilih agar sepatu tersebut dapat bertahan lama. Sebelum membuat pilihan, kenali terlebih dahulu dengan memastikan ia selesa di kaki, tahan lasak, berkualiti dan cantik agar pelaburan untuk membelinya berbaloi.
TERDAPAT BEBERAPA JENIS SEPATU YANG PATUT ANDA KETAHUI. ANTARANYA:
a.       Open Toe
Bahagian hujung sepatu terbuka menampakkan jari kaki dan bahagian belakangnya kebiasaannya tertutup. Sepatu jenis ini sesuai digayakan ketika majlis formal atau tidak formal.

b.      Sarung
Sepatu jenis ini kebiasannya menutup keseluruhan kaki. Biarpun tidak ramai yang gemar menggayakannya, namun sepatu jenis ini sesuai digayakan ke majlis formal mahupun ke pejabat.

c.       Sling back
Jenis ini mempunyai tali yang melilit pada pergelangan kaki. Dengan menggayakan sepatu ini, langkah tampak lebih feminin dan meyakinkan. Sesuai digayakan bersama gaun mahupun blaus.

d.      Wedge heel
Sepatu ini sesuai digayakan oleh wanita yang tidak selesa bertumit runcing. Sepatu jenis ini mempunyai tumit dengan depan sehingga belakang. Sepatu ini tidak mudah patah dan sesuai untuk wanita bertubuh besar.

e.       Kitten heel
Sepatu jenis ini mempunyai tumit yang lebih rendah dan selesa untuk digayakan kala bersantai. Ia sering menjadi pilihan untuk situasi tidak formal misalnya, ketika bersantai bersama rakan-rakan.

f.        Stiletto
Bahagian depan sepatu ini kelihatan lebih runcing dan mempunyai tumit tinggi yang runcing. Ia sesuai digayakan bersama gaun labuh untuk majlis makan malam untuk menimbulkan kesan yang lebih feminin dan seksi.

g.      Selop
Selop atau lebih dikenali sebagai selipar ini terbuka di bahagian belakang dan menyerupai sandal. Sepatu jenis ini sering digunakan bagi tujuan bersantai kerana lebih mudah dan selesa untuk bergerak.

h.      But
Sepatu jenis ini menutupi kaki iaitu ada yang sehingga pergelangan kaki, setengah betis atau sehingga ke lutut. But yang diperbuat daripada kulit atau getah ini mempunyai tapak dan bertumit keras atau tebal. Ia sangat sesuai digayakan dengan memakai jean agar penampilan lebih kasual.

i.        Sport
Sepatu jenis ini bersifat tahan lasak dan sering dijadikan pilihan ketika bersukan atau beriadah. Namun periksa kualitinya agar aktiviti sukan tidak tergendala kerana kerosakan secara tiba-tiba.

























TIP MENGGUNAKAN KRIM PELINDUNG MATAHARI
RADIASI ultraviolet (UV) merupakan antara punca utama kepada kerosakan kulit termasuklah mendatangkan risiko kanser kulit dalam tempoh jangka panjang. Radiasi UV ini mampu memberi kesan kulit terbakar, menimbulkan noda coklat, gejala penuaan dan kekeringan kulit. Justeru, perlindungan secara efektif perlu dilakukan untuk melindungi kulit daripada sinar UV yang berbahaya ini.
Jadi tidak hairanlah jika ramai yang menjadikan krim pelindung matahari sebagai pilihan ketika menjalankan aktiviti yang terdedah pada sinaran matahari. Namun, penggunaannya perlulah tepat agar krim tersebut dapat melindungi kulit dengan lebih efektif. Berikut merupakan tip-tip menggunakan krim pelindung matahari:
1. Gunakan krim pelindung matahari atau kosmetik yang mengandungi SPF 15 atau lebih jika anda menjalankan aktiviti luar yang terdedah secara langsung pada sinaran matahari. Individu berkulit putih memerlukan penggunaan krim pelindung matahari yang lebih tinggi angka SPF berbanding individu berkulit gelap. Ini kerana mereka mempunyai lapisan melamin yang berbeza.
2. Pilih krim yang tahan air (waterproof) dan tahan peluh (sweatproof) bagi menegelakkan ia mudah hilang akibat terkena air ketika berenang atau berpeluh. Pastikan ia juga memberi perlindungan terhadap pelbagai radiasi termasuk radiasi UVA dan UVB.
3. Pastikan krim tersebut juga bebas Para-aminobenzoic acid (PABA) yang boleh memberikan kesan elegi pada kulit. PABA juga boleh menyebabkan kulit menjadi kemerahan, iritasi dan sensitif terhadap sinaran matahari.
4. Sapukan krim pelindung matahari dengan tebal 20 minit sebelum anda keluar rumah melakukan sebarang aktiviti. Biarkan ia meresap ke dalam kulit. Selepas 20 minit terdedah pada sinaran matahari, sapukan lagi krim tersebut. Jika melakukan aktiviti renangan atau mengeluarkan peluh, sapukan krim pelindung matahari setiap dua jam sekali. Krim pelindung matahari yang mempunyai label waterproof seeloknya digunakan setiap 40 minit.
5. Beri keutamaaan pada bahagian hidung, telinga, belakang leher dan sekitar tubuh yang begitu terdedah pada sinaran matahari. Hidung merupakan bahagian yang paling terdedah, justeru sapukan krim pelindung matahari dengan lebih banyak pada hidung dan sekitarnya.
6. Setiap orang mempunyai jenis kulit yang berbeza. Jika anda memiliki kulit berminyak, jadikan gel pelindung matahari sebagai pilihan. Namun, jika memiliki kulit kering maka anda sesuai menggunakan krim pelindung matahari.
7. Seperti kosmetik lain, anda juga perlu memeriksa tarikh tamat tempoh krim pelindung matahari anda. Sekiranya telah berubah warna, kering atau kental maka jangan sesekali menggunakannya lagi. Jka dibiarkan, anda mungkin akan berdepan dengan masalah kulit yang lain sekiranya masih menggunakan krim yang telah tamat tempoh.

8. Jangan mudah terpengaruh dengan produk kosmetik seperti bedak, foundation dan sebagainya yang dikatakan turut mengandungi pelindung matahari. Ini kerana produk kosmetik ini tidak cukup tebal dan berkesan bagi melindungi kulit daripada sinaran matahari secara langsung.
9. Bagi anda yang tidak bertudung, pastikan rambut anda juga mendapat perlindungan khas daripada sinaran matahari. Gunakan produk rambut yang mengandungi fungsi yang sama seperti krim pelindung matahari untuk kulit.

Kredit : Keluarga Harmoni 15-31 Julai 2010